Hospital Umum Sarawak (HUS) mencatat sejarah apabila menerima pendermaan organ pertama daripada penderma beragama Islam di hospital berkenaan pada 15 September lalu.
Dalam hantaran rasmi HUS di Facebook, keluarga penderma yang berada dalam suasana dukacita menunjukkan kekuatan dan keprihatinan apabila memilih untuk memberikan harapan serta peluang kehidupan kepada penerima organ.
Unit Perolehan Organ dan Pendermaan (UPOH) HUS turut menyatakan penghargaan kepada keluarga penderma kerana memberikan kepercayaan kepada pasukan perubatan untuk menguruskan proses pendermaan berkenaan.
Proses itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sumber Transplan Nasional, dengan pasukan pelbagai disiplin memastikan urusan perolehan organ dijalankan secara penuh bermaruah, sensitif serta menghormati kepercayaan dan pegangan agama keluarga penderma.
Menurut HUS, pendermaan itu menjadi satu detik bermakna dalam sejarah hospital berkenaan, selain mencerminkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan keluarga penderma dalam membantu memberikan kehidupan baharu kepada orang lain.