Pada 14/01/2026 jam 6.45 pagi, bertempat di Pos Kawalan Imigresen Merapok, Lawas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lawas (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas telah menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang datang dari Sabah menuju ke daerah Lawas.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong anak Tindan berkata hasil pemeriksaan terhadap pemandu kereta tersebut, pihak polis telah menjumpai dan merampas sebanyak lima (5) plastik pelbagai saiz yang berisi hablur kristal jernih dan berwarna biru disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar keseluruhan sebanyak 252.33 gram.
“Nilai anggaran harga pasaran rampasan tersebut adalah RM50,000. Pihak polis juga turut menyita kereta yang digunakan oleh suspek bagi tujuan siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (15 Jan).
Siasatan awal polis mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan (penganggur) yang memandu kereta seorang diri dari Kota Kinabalu, Sabah menuju ke Lawas. Semakan rekod kesalahan mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau.
Menurut beliau, suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Sekiranya hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan oleh mahkamah, tertuduh juga hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 sebatan. Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali, serta pengawasan selama dua (2) tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.
DSP Liong berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada 15/01/2026 dan kes ini merupakan kes yang tidak boleh dijamin.
Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta tampil menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN 012-208 7222 (JSJN Bukit Aman) dan 017-592 9211 (JSJN Sarawak) atau ke mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.