Dokumen penting yang menjadi asas pembentukan Malaysia antara tarikan utama Pameran Hari Malaysia 2026 yang berlangsung di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini, dari 10 hingga 16 September ini.
Menurut Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, pameran berkonsepkan Koridor Zaman Pembentukan Malaysia itu mengetengahkan lima segmen utama, termasuk Dokumen Pembentukan Malaysia yang memaparkan dokumen bersejarah berkaitan proses pembentukan negara.
Antara dokumen yang dipamerkan ialah Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962, Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963, Akta Malaysia 1963 serta Watikah Pemasyhuran Malaysia 1963.
JAPEN Sarawak berkata, pameran itu turut menampilkan Denai Masa Pembentukan Malaysia yang memaparkan kronologi sejarah dari 27 Mei 1961 hingga 9 Ogos 1965, selain segmen Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia yang menjelaskan peranan badan utama dalam proses mendapatkan pandangan serta membina persetujuan bersama.
“Galeri Tokoh pula mengetengahkan sumbangan pemimpin daripada pelbagai wilayah dalam pembentukan Malaysia,” katanya.
Menurut JAPEN Sarawak, Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia turut menghubungkan sejarah pembentukan negara dengan identiti dan tanggungjawab rakyat menerusi Rukun Negara, sejarah Bendera Malaysia, adab mengibarkan Jalur Gemilang serta makna logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pameran yang dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 10 malam itu turut menyediakan aktiviti seperti Kuiz Kenegaraan dan Kahoot, persembahan PENTARAMA serta demonstrasi pemuliharaan dokumen oleh pihak Arkib.
JAPEN Sarawak berkata, pameran itu bertujuan memperluas penghayatan masyarakat terhadap makna Hari Malaysia, menyemarakkan semangat patriotisme serta memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Selain pameran utama di Kuching, Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia turut dilaksanakan di 10 bahagian di Sarawak, selain lokasi tambahan di Sabah dan Putrajaya.
Sesi pratonton hari ini (10 Sept) turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Pengarah JAPEN Sarawak, Sabri Said.
