Sarawak melangkah ke 2026 dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026, AirBorneo

Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 dan AirBorneo menandakan permulaan dua inisiatif penting sektor pelancongan dan penerbangan di Sarawak sebaik memasuki tahun baharu 2026.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 akan diadakan pada 1 Januari, dengan Kuching dipilih sebagai antara lokasi rasmi pelancaran.

Beliau berkata, majlis pelancaran AirBorneo pula dijadual berlangsung pada 2 Januari 2026 dan beliau akan menghadiri kedua-dua acara berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Mengulas impak AirBorneo terhadap sektor pelancongan, Abdul Karim berkata kesan peningkatan pelancong tidak dapat dilihat secara serta-merta, memandangkan perkhidmatan penerbangan dari Januari hingga Julai 2026 akan menggunakan pesawat bersaiz kecil.

Menurutnya, perkhidmatan tersebut merupakan kesinambungan kepada Rural Air Service yang sebelum ini dikendalikan MasWings dan akan diteruskan oleh AirBorneo sehingga Julai 2026.

“Selepas Julai, AirBorneo dijangka mengatur penggunaan pesawat lain termasuk jenis jet untuk penerbangan ke destinasi lebih jauh termasuk wilayah lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan lonjakan besar sektor pelancongan memerlukan tempoh beberapa tahun sebelum hasilnya dapat dilihat sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *