Sarawak memperkenalkan dua inisiatif antarabangsa utama di World Travel Market (WTM) London 2025 bagi memperkukuh promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year – VMY 2026) di peringkat global.
Menurut Sarawak Tourism Board (STB), dua inisiatif berkenaan ialah “Gateway to a Sarawak – Guinness World Record” dan “Borneo UNESCO Sites Packages” yang menonjolkan keunikan warisan serta daya tarikan alam semula jadi Borneo.
Dalam satu kenyataan, STB memaklumkan bahawa Kempen “Gateway to a Sarawak” akan menyaksikan Sarawak berusaha mencipta rekod dunia sebagai langkah menarik perhatian antarabangsa terhadap warisan dan inovasi negeri itu.
Sementara itu, “Borneo UNESCO Sites Packages” merupakan kerjasama antara Sarawak Tourism Board (STB) dan Sabah Tourism Board, yang menampilkan tiga destinasi utama – Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah dan Sarawak Delta Geopark – yang diiktiraf atau sedang menuju pengiktirafan di bawah UNESCO.
“Pelancongan kini bukan lagi sekadar ke mana kita pergi, tetapi apa yang kita pelajari, siapa yang kita temui dan bagaimana kita berhubung dengan dunia di sekeliling kita,” kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada pelancaran rasmi paviliun Sarawak di WTM London pada Rabu.
Di bawah tema “Sarawak Welcomes You”, negeri itu mengajak dunia meneroka semula Borneo melalui budaya, biodiversiti dan semangat komuniti yang menjadi teras kepada pelancongan bertanggungjawab.
Katanya, pembangunan pelancongan Sarawak berpaksikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan aspek kemampanan, inklusiviti dan inovasi bagi memastikan manfaat pelancongan dinikmati seluruh masyarakat.
Beliau berkata, model pembangunan itu digerakkan melalui lima tonggak utama CANFF – Culture, Adventure, Nature, Food dan Festival, yang menekankan kepentingan memelihara warisan dan alam semula jadi Borneo.
Selain pelancaran dua inisiatif berkenaan, penyertaan Sarawak di WTM London turut menampilkan tayangan video promosi “Sarawak Welcomes You”, persembahan kebudayaan harian serta demonstrasi anyaman dan kraf tradisional, selain sesi libat urus bersama rakan industri antarabangsa.
“Warisan menjadi lebih kuat apabila dikongsi, dan kerjasama adalah jalan sebenar menuju pemuliharaan. Dari hati kami ke hati anda — dari Borneo ke London — Sarawak Welcomes You,” katanya.
