Sarawak terima dua pengiktirafan di World Travel Market 2025 London

Gerbang LED dengan paparan visual landskap berganti-ganti di Pavilion Sarawak, WTM London 2025 — mempersembahkan keindahan semula jadi Sarawak dan penceritaan imersif di bawah tema Gateway to Borneo.

Penyertaan Sarawak dalam Pameran Pelancongan Dunia (World Travel Market, WTM) London 2025 berjaya meraih dua pengiktirafan yang menonjolkan usaha berterusan negeri ini dalam memperkenalkan warisan semula jadi dan budayanya ke peringkat antarabangsa.

Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, Sarawak diiktiraf menerusi Anugerah Ciri Gerai Terbaik (Best Stand Feature Award) di WTM Best Stand Awards 2025 atas pemasangan Gerbang LED di Pavilion Sarawak — satu konsep pertama seumpamanya.

Reka bentuk itu menampilkan paparan visual berganti-ganti yang memaparkan Formasi Batu Kapur Mulu (Mulu Pinnacles), Air Terjun Three Sisters di Long San, Baram, serta Taman Negara Terumbu Karang Miri–Sibuti.

WTM London yang berlangsung dari 4 hingga 6 November merupakan antara pasaran pelancongan terbesar dunia, menghimpunkan kira-kira 5,000 pempamer dari 180 negara dan wilayah.

Penyertaan Sarawak yang diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama agensi kerajaan negeri dan rakan industri menampilkan 15 pempamer bersama, bersatu mempromosikan kepelbagaian produk pelancongan Sarawak di pentas global.

Panel juri memuji paparan air terjun yang menarik perhatian, dengan menekankan penggunaan elemen audio-visual yang berkesan.

Pemasangan itu direka bagi memperkenalkan landskap pelbagai rupa bumi Sarawak melalui persembahan visual yang ringkas, menyeluruh serta menggabungkan elemen kreatif dan pendidikan.

Delegasi Sarawak menerima anugerah Top 10 Most Desirable Regions (Worldwide) bagi Sarawak dalam Wanderlust Reader Travel Awards 2025 di Pavilion Sarawak, WTM London 2025 — mengiktiraf daya tarikan global Sarawak sebagai destinasi yang diraikan kerana keindahan alam, kekayaan budaya dan komitmen terhadap kelestarian.

Sarawak turut disenaraikan antara 10 Wilayah Paling Diminati (Seluruh Dunia) dalam Anugerah Pelancongan Pembaca Wanderlust 2025 (Wanderlust Reader Travel Awards 2025).

Pengiktirafan tersebut disampaikan di Pavilion Sarawak (N10-400), mencerminkan minat berterusan pelancong terhadap destinasi berasaskan budaya, alam semula jadi dan keaslian.

“Pengiktirafan ini memberi semangat kepada kami untuk terus memperkemas cara Sarawak diketengahkan di peringkat antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Haji Salleh Askor.

“WTM London merupakan platform penting untuk kami berkongsi kisah Sarawak bersama rakan industri, media dan pengunjung, dan kami amat berterima kasih atas sambutan positif yang diterima,” katanya lagi.

Kedua-dua pengiktirafan itu melengkapkan penyertaan menyeluruh Sarawak di WTM London 2025 yang turut menampilkan persembahan budaya, sesi pertemuan perdagangan dan media, serta pelancaran video “Sarawak Welcomes You” dan pakej “Borneo UNESCO Sites”.

Usaha ini menyumbang kepada peranan Sarawak dalam menyokong persiapan Malaysia ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026, berteraskan kelestarian, pemerkasaan komuniti, serta lima tunjang utama CANFF — Culture (Budaya), Adventure (Pengembaraan), Nature (Alam), Food (Makanan) dan Festivals (Perayaan).

Seiring dengan usaha memperkukuh jangkauan antarabangsa, pengiktirafan di WTM London 2025 mencerminkan kemajuan konsisten Sarawak dalam memposisikan dirinya sebagai Pintu Gerbang ke Borneo (Gateway to Borneo) melalui penyampaian kisah yang tulen, kreatif dan bertanggungjawab.