Sitaan harta pengedar dadah di Sarawak meningkat kepada RM17.9 juta pada 2025

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah mencatatkan sebanyak 13,198 tangkapan berbanding 10,396 tangkapan pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 2,808 tangkapan atau 27 peratus.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah, berkata daripada jumlah ini, 644 adalah pengedar dadah, 2,415 memiliki dadah dan 10,139 merupakan pengguna dadah.

“Nilai rampasan pelbagai jenis dadah dan racun sepanjang tahun 2025 adalah RM32.2 juta, sedikit menurun berbanding RM34 juta pada tahun sebelumnya.

“Penurunan ini berlaku kerana kejayaan kita menuduh lebih ramai pengedar di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman lebih berat,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan, Bulan Januari 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Kuching, hari ini (23 Jan 2026).

Katanya, sepanjang tahun 2025, polis juga telah mengambil tindakan terhadap 293 penagih tegar di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara lima hingga tujuh tahun serta sebatan.

“Dalam usaha melumpuhkan sumber kewangan pengedar dadah, PDRM Sarawak berjaya meningkatkan sitaan harta pengedar sebanyak 336 peratus, bersamaan RM17.9 juta berbanding RM4.1 juta pada tahun 2024.

“Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan dan antara rekod tertinggi dalam sejarah pembanterasan dadah di Sarawak,” ujarnya.

Kejayaan ini adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif, penggunaan teknologi dan kerjasama masyarakat. Namun, usaha kita tidak boleh berhenti di sini.

“Kita akan terus memperhebatkan operasi, memperkukuh kerjasama strategik dan meningkatkan kesedaran awam bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa,” katanya.