Jumlah jenayah indeks telah menurun sebanyak 390 kes pada tahun 2025, bersamaan penurunan 8 peratus berbanding tahun 2024, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
Menurutnya, ini adalah satu pencapaian yang membanggakan hasil daripada usaha berterusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat.
“Namun begitu, terdapat beberapa perkembangan yang perlu diberi perhatian. Jenayah kekerasan mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 2 peratus, dengan penyumbang utama adalah kes rogol yang meningkat sebanyak 21 peratus pada tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Kuching, hari ini (23 Jan 2026).
Bagi jenayah harta benda, terdapat penurunan sebanyak 9 peratus, dengan pengurangan ketara dalam kes curi van, lori dan jentera berat sebanyak 43 peratus, serta curi motosikal sebanyak 16 peratus.
Walau bagaimanapun, kes curi motokar meningkat sebanyak 12 peratus, melibatkan 10 daerah yang menunjukkan peningkatan kes tersebut. Selain itu, kes pecah rumah dan curi juga meningkat, di 17 daerah di Sarawak.
Penurunan keseluruhan jenayah indeks serta peningkatan kadar penyelesaian kes adalah hasil daripada strategi penguatkuasaan yang lebih berkesan, kerjasama masyarakat, dan penggunaan teknologi dalam siasatan.
Walaupun corak keseluruhan menunjukkan penurunan, perhatian khusus akan diberikan kepada peningkatan kes rogol dan curi motokar.
“Untuk itu, PDRM akan memperkukuh rondaan, meningkatkan kesedaran awam, serta memperluas program pencegahan jenayah bagi menangani isu-isu ini,” katanya.
