Taman Negara Niah, Pusat Hidupan Liar Semenggoh terima pengiktirafan emas MyTQA 2024–2027

Gambar SFC

Dua destinasi pelancongan ikonik Sarawak, Taman Negara Niah dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh, sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila masing-masing dianugerahkan Kategori Emas bagi Pensijilan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) 2024–2027.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam hantaran di laman sosial rasminya pada Khamis (23 Okt), menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian besar kepada sektor eko-pelancongan negeri, hasil komitmen berterusan terhadap pemuliharaan alam sekitar serta penyediaan pengalaman pelancongan bertaraf dunia.

Lebih membanggakan, Pusat Hidupan Liar Semenggoh menerima anugerah berprestij ini buat kali kedua, menandakan konsistensi pusat tersebut dalam mengekalkan standard tinggi pelancongan berasaskan pemuliharaan.

Menurut SFC, kejayaan itu sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama yang dibina atas asas kualiti, keaslian dan kelestarian alam semula jadi.

MyTQA ialah inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bagi mengiktiraf produk serta perkhidmatan pelancongan yang menepati piawaian kualiti ditetapkan, dengan kategori emas diberikan kepada premis yang mencapai tahap kecemerlangan tertinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *