Seorang wanita berusia 41 tahun di Kuching berputih mata selepas ditipu sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai insurans dan anggota polis, menyebabkan mangsa kerugian keseluruhan RM56,000.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata kejadian bermula pada 4 September lalu ketika mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai “En. Faizal bin Madnoor”, kononnya pegawai Etiqa Insurans.
“Suspek mendakwa maklumat peribadi mangsa telah digunakan untuk membuat tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 di Hospital KPJ Damansara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (11 Nov).
Apabila mangsa menafikan terlibat, panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai Sjn Mohd Remi dari IPD Bukit Aman. Lelaki itu pula mendakwa mangsa disiasat atas kes penggubahan wang haram kononnya dikendalikan oleh Insp. Mohd Khairul.
“Dalam keadaan panik, mangsa diarahkan membuat beberapa bayaran untuk ‘menyelesaikan kes’ dan telah melakukan empat transaksi ke empat akaun bank berbeza berjumlah RM56,000,” jelasnya.
Menurut Alexson, hanya selepas memaklumkan perkara itu kepada suaminya barulah mangsa menyedari dirinya telah diperdaya.
Beliau menambah, sebanyak 91 kes penipuan menggunakan modus operandi serupa telah dilaporkan di Daerah Kuching sejak 1 Januari hingga 10 November tahun ini, membabitkan jumlah kerugian RM4.66 juta, termasuk kes terbaharu ini.
ACP Alexson mengingatkan orang ramai agar tidak mudah panik apabila menerima panggilan mendakwa mereka terlibat dalam siasatan pihak berkuasa, sebaliknya membuat semakan terus dengan agensi berkaitan atau hadir ke balai polis berhampiran bagi pengesahan.
