Sarawak melangkah ke era transformasi baharu apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada Isnin (20 Okt) melancarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Sarawak 2026–2030 sempena Persidangan Ekonomi Sarawak 2025 di Kuching.
Menurut laporan di laman Facebook Sarawakku, pelan lima tahun itu dibina berasaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, bagi mengorak hala tuju Sarawak menuju status negeri berpendapatan tinggi, mampan dan berdaya saing di peringkat global menjelang akhir dekad ini.
“RMK13 menjadi jambatan antara masa kini dan tahun 2030 yang menyatukan aspirasi ekonomi, keutamaan sosial serta komitmen terhadap kelestarian alam di bawah satu visi bersama; menjadikan Sarawak sebuah negeri yang berdaya tahan, berdaya saing, prihatin dan lestari,” katanya ketika menyampaikan ucaptama.
Premier turut menegaskan bahawa ekonomi Sarawak menunjukkan ketahanan luar biasa apabila hasil negeri hampir berganda daripada RM7.6 bilion pada 2021 kepada RM14.2 bilion pada 2024, mencerminkan disiplin fiskal dan kecekapan tadbir urus kerajaan.
Pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi pada 2023 turut memperkukuh kemajuan serta kejayaan negeri dalam usaha pendiversifikasian ekonominya.
Berlandaskan kekuatan itu, RMK13 menyasarkan penggandaan saiz ekonomi negeri daripada RM148.2 bilion pada 2024 kepada RM282 bilion menjelang 2030, dengan pendapatan isi rumah median disasarkan mencecah RM15,000.
“Kita bukan lagi hanya negeri kaya sumber, tetapi negeri kaya peluang,” tegas beliau.
Beliau menambah bahawa transformasi ini berpaksikan dasar jelas, peralihan hijau serta kepimpinan berwibawa.
Aspek tenaga menjadi teras kepada strategi pertumbuhan negeri, dengan Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035, manakala lebih 60 peratus tenaga sedia ada kini dijana daripada hidroelektrik.
Sarawakku turut menggariskkan, menerusi inisiatif seperti Bintulu Transitioning Industrial Cluster (TIC) dan pembangunan industri berasaskan hidrogen, Sarawak berhasrat untuk muncul sebagai ‘Bateri ASEAN’ – hab serantau tenaga bersih dan mampan.
Dalam masa sama, Premier turut mengumumkan rancangan memperkukuh sektor perindustrian dan digital negeri. Melalui Inisiatif Semikonduktor Sarawak dengan kerjasama CSA Catapult, United Kingdom, Sarawak akan membangunkan rantaian nilai penuh industri semikonduktor iaitu daripada reka bentuk cip hingga pembungkusan, disokong teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan pembuatan pintar.
Menjelang 2030, sebanyak 30,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menggunakan platform digital, manakala 45,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan mendapat manfaat daripada program keusahawanan dan inovasi yang menyepadukan perniagaan tempatan dalam rantaian nilai global.
“Transformasi digital akan menjadi nadi ekonomi Sarawak yang mendorong daya saing, keterangkuman dan inovasi mampan,” ujarnya.
Bagi memastikan pelaksanaan RMK13 mencapai hasil yang disasarkan, beliau berkata setiap kementerian dan agensi akan menyediakan pelan tindakan terperinci dengan sistem pemantauan berasaskan prestasi dan bajet berasaskan hasil bagi menjamin akauntabiliti.
“Pelaksanaan yang lebih baik membawa kepada hasil yang lebih baik dan seterusnya kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Sarawak,” katanya.
Premier turut menyeru agar semua pihak terus bersatu, berinovasi dan memikul tanggungjawab bersama dalam membina masa depan yang lebih kukuh dan mampan.
“Transformasi ialah satu perjalanan berterusan dan setiap generasi memainkan peranan meneruskan perjuangan ini. Bersama-sama, kita akan membina Sarawak yang bukan sahaja makmur dan kuat, tetapi juga hijau, inklusif dan bersedia untuk masa depan,” tegasnya.
