Dua lelaki ditahan miliki senapang buatan sendiri di Betong

Senapang yang dirampas dari suspek menerusi Op Laras di Betong.

Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 16 dan 51 tahun selepas disyaki memiliki senapang patah buatan sendiri dan peluru tanpa lesen dalam Op Laras di sekitar daerah Betong pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintenden Rejali Angong berkata tangkapan dibuat sekitar jam 1 pagi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

“Hasil operasi, polis berjaya merampas dua laras senapang patah buatan sendiri (bakakok), satu laras senapang angin buatan sendiri serta 27 butir peluru penabur.

“Kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen pemilikan senjata api yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati negatif.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak memiliki senjata api buatan sendiri atau peluru tanpa lesen kerana ia merupakan kesalahan jenayah serius,” tegasnya.

Rejali turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah agar menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai berhampiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *