Kedudukan teratas dalam undian, satu pencapaian membanggakan Borneo Cultures Museum

“Borneo Cultures Museum telah mencapai apa yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana muzium di negara kita sebelum ini.”

Demikian kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Borneo Cultures Museum (BCM) menduduki ranking pertama dunia dalam Museum World Ranking Website, sekali gus menewaskan muzium-muzium ternama antarabangsa.

Menurut beliau, kedudukan BCM dalam undian laman sesawang museumworldranking.net mencerminkan keunggulan pengurusan, pentadbiran, promosi, serta pengisian artifak dan khazanah yang menjadikan BCM begitu mengagumkan di mata pengunjung tempatan mahupun antarabangsa.

“Ia menunjukkan keunggulan pengurusan, pentadbiran, promosi, serta pengisian artifak dan bahan khazanah yang membuat sesiapa yang melawati BCM terasa teruja dan terpegun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Karim turut menambah bahawa sejak muzium itu dibuka kepada umum, beliau tidak pernah menerima sebarang pandangan negatif daripada pengunjung tempatan mahupun pelancong luar negara, satu petunjuk jelas terhadap mutu pengalaman yang ditawarkan BCM.

“Tahniah Sarawak! Tahniah Jabatan Muzium! Tahniah BCM!” katanya, menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Muzium Sarawak dan seluruh rakan pengurusan muzium atas usaha berterusan menaikkan nama negeri di pentas dunia.

Borneo Cultures Museum, yang menjadi ikon baharu warisan dan kebudayaan Sarawak, kini mencatat sejarah tersendiri apabila mengungguli senarai antarabangsa buat julung kalinya.

Undian menerusi laman sesawang museumworldranking.net setakat jam 10.30 pagi, 5 Nov 2025, BCM terus mendapat undian 4,8441, disusuli Muzium Lourve (4.053) dan National Museum of Anthropology (4,021).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *