Sukan SEA 2027 pemangkin ekonomi, pelancongan Sarawak

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

Penganjuran Sukan SEA 2027 bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, pelancongan dan industri sukan Sarawak menerusi pelbagai projek naik taraf fasiliti serta penglibatan berskala antarabangsa yang akan berlangsung di negeri ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak diberi tanggungjawab besar apabila menjadi hos bagi 17 daripada 38 jenis sukan selain turut menganjurkan majlis pembukaan rasmi temasya itu di Stadium Sarawak pada 18 September 2027.

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran penganjuran, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM636.5 juta bagi pelaksanaan pelbagai persiapan termasuk kerja naik taraf fasiliti sukan utama di negeri ini.

Katanya, antara fasiliti yang terlibat ialah Stadium Sarawak, Stadium Perpaduan, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Sarawak Shooting Range, Sarawak Squash Centre serta beberapa venue lain yang akan digunakan sepanjang temasya berkenaan.

“Kerja naik taraf Stadium Sarawak dijangka siap pada 29 Januari 2027, manakala projek naik taraf dan pengubahsuaian venue lain dijadual bermula suku kedua tahun ini.

“Semua fasiliti disasarkan siap sepenuhnya dan beroperasi menjelang suku pertama dan kedua 2027,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching pada Selasa.

Abdul Karim berkata, temasya dwitahunan itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak dalam arena sukan serantau, malah dijangka memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan, pengangkutan, hospitaliti dan ekonomi setempat.

Beliau berkata, persiapan penganjuran juga melibatkan pelbagai aspek operasi termasuk pengurusan teknikal, penginapan, pengangkutan, perubatan, keselamatan, media dan penyelarasan sukarelawan menerusi 22 jawatankuasa kerja yang ditubuhkan di bawah kluster Sarawak.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin kerjasama semua pihak akan memastikan Sarawak berjaya menganjurkan Sukan SEA 2027 secara profesional dan bertaraf antarabangsa.