Seorang lelaki berusia 60 tahun maut selepas kenderaan yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di Jalan Mujong Bukit Banyau, Kapit pada Khamis (15 Jan 2026).
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kenyataan itu turut memaklumkan, JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.17 pagi.
“Pasukan bomba bertindak turun ke dalam gaung menggunakan tali penyelamat bersama satu unit pengusung bagi mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan.
“Selepas dikeluarkan, mangsa diperiksa oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa naik ke atas jalan dan diserahkan kepada pihak polis,” menurut kenyataan itu.
Operasi menyelamat membabitkan seramai 10 anggota BBP Kapit dan diketuai PBK II (TBK I) Richie Anak Mejah.
Turut terlibat dalam operasi ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kekuatan tiga anggota serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan lima anggota.
