Kes di Sri Aman: Polis sahkan terdapat 11 kecederaan akibat objek tajam pada suami, isteri terdapat luka tikaman di leher

Hasil bedah siasat ke atas mangsa lelaki, kes kematian melibatkan suami isteri di Sri Aman mendapati terdapat 11 kecederaan akibat objek tajam melibatkan bahagian leher dan dada, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah.

“Sebab kematian disahkan sebagai ‘Neck and Chest Injuries Due To Stab Wounds,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (16 Jan 2026).

Menurutnya lagi, manakala hasil bedah siasat ke atas isteri iaitu mangsa perempuan, mendapati terdapat luka tikaman di bahagian leher.

“Sebab kematian disahkan sebagai ‘Neck Injury Due To Stab Wounds’,” jelasnya.

Pada 15 Januari 2026 (Khamis) bedah siasat telah dijalankan ke atas kedua-dua mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak oleh Pakar Patologi.

Setakat ini, seramai (21) orang saksi telah dirakamkan keterangan, yang terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa.

Walau bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sepenuhnya.

“PDRM Kontinjen Sarawak ingin menegaskan bahawa siasatan masih dijalankan secara profesional, telus dan berasaskan bukti

forensik serta keterangan saksi,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa dalam tempoh ini.

Pada 14 Januari 2026, lebih kurang jam 6.55 pagi, IPD Sri Aman telah menerima makluman daripada orang awam berhubung penemuan sepasang suami isteri yang tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan serius di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman.

Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman bersama pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman telah segera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pemeriksaan awal mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa, iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun dan isterinya berumur 44 tahun, telah meninggal dunia di tempat kejadian.