Tiga lelaki ditahan dalam Op Tapis Khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di kawasan hutan, Jalan Roban Lama, Saratok pada Isnin (27 Okt).
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi dijalankan antara jam 2 petang hingga 11 malam itu turut dibantu Unit MPV STK 102, susulan maklumat mengenai kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.
“Ketika serbuan, polis menahan tiga lelaki berusia antara 18 hingga 22 tahun yang dipercayai penagih dadah. Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (28 Okt).
Menurutnya, pondok di dalam hutan yang dipercayai digunakan sebagai lokasi pengedaran dan penagihan turut dimusnahkan bagi mengelak ia digunakan semula.
Siasatan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
