Reach Ten perluas jaluran perkhidmatan, aplikasikan Starlink bagi operasi luar pantai, sekolah pedalaman dan menara komunikasi

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi berpusat di Sarawak, Reach Ten Holdings Berhad (“Reach Ten” atau “Syarikat”), memperkukuh portfolio perkhidmatannya menerusi pelaksanaan perkhidmatan Starlink di sektor maritim, minyak dan gas, infrastruktur menara komunikasi serta sekolah luar bandar yang kurang liputan, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha merapatkan jurang digital di kawasan yang tidak mempunyai rangkaian gentian optik.

Setakat ini, Syarikat telah membekalkan perkhidmatan Starlink kepada 10 kapal dan pelantar luar pesisir bagi menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi serta latensi rendah bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kebajikan kru.

Dalam sektor pendidikan, Reach Ten telah menyalurkan perkhidmatan Starlink ke 337 sekolah di Sarawak dan 12 sekolah di Sabah, selain melengkapkan 208 sekolah di Sarawak yang sebelum ini disokong melalui perkhidmatan 4G. Usaha ini membolehkan murid dan guru di kawasan pedalaman mengakses platform pembelajaran digital dengan lebih lancar.

Pengarah Urusan Reach Ten, Encik Leo Chin, berkata pelaksanaan tersebut merupakan langkah besar dalam menutup jurang liputan internet di lokasi kritikal.

Starlink membolehkan kami membawa internet berkelajuan tinggi ke kawasan yang tidak dapat dicapai infrastruktur tradisional. Sama ada untuk menyokong kru luar pesisir, memperkukuh ketahanan rangkaian atau mengupayakan pembelajaran digital, teknologi ini benar-benar mengubah keupayaan di kawasan frontier,” katanya.

Syarikat turut mengintegrasikan Starlink sebagai backhaul di tujuh lokasi menara komunikasi bagi meningkatkan kesinambungan rangkaian di kawasan yang mempunyai liputan gentian optik terhad. Penyelesaian ini bertindak sebagai pelengkap kepada rangkaian darat sedia ada, sekali gus memastikan perkhidmatan telekomunikasi tidak terganggu.

Langkah strategik ini menyokong keputusan kukuh Reach Ten bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25”), dengan pendapatan RM27.10 juta, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen gentian optik dan komunikasi berasaskan satelit. Syarikat mencapai keuntungan kasar RM13.71 juta dengan margin 50.6%, manakala keuntungan bersih berjumlah RM9.25 juta dengan margin bersih 34.1%.

Perkhidmatan berasaskan satelit terus menjadi penyumbang utama pendapatan pada RM17.11 juta, diikuti perkhidmatan gentian optik RM7.71 juta dan infrastruktur telekomunikasi serta perkhidmatan terurus sebanyak RM2.27 juta. Sarawak kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kumpulan.

Reach Ten menutup suku tersebut dengan penyata kewangan kukuh, disokong oleh tunai dan setara tunai berjumlah RM151.41 juta termasuk deposit tetap dan jangka pendek. Aset bersih sesaham ialah RM0.22, manakala pinjaman kekal rendah pada RM2.64 juta, meletakkan Syarikat dalam kedudukan bersih tunai.

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua satu sen sesaham berjumlah RM10.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Dividen akan dibayar pada 15 Januari 2026 dengan tarikh kelayakan pada 30 Disember 2025.

Chin berkata keputusan stabil itu mencerminkan kemajuan berterusan Reach Ten dalam memperluas liputan rangkaian dan meningkatkan penawaran perkhidmatan.

“Permintaan bagi perkhidmatan satelit dan gentian kekal kukuh. Kedudukan bersih tunai yang mantap memberi kami ruang untuk terus berkembang. Dengan peluasan tapak Starlink, pertumbuhan rangkaian gentian dan sokongan kepada pelanggan perusahaan, kami yakin kumpulan berada pada landasan pertumbuhan mapan,” jelasnya.

Bagi tempoh lapan bulan dari Februari hingga September 2025, Reach Ten mencatatkan pendapatan RM76.92 juta, keuntungan kasar RM38.22 juta dan keuntungan bersih RM25.79 juta, dengan margin keuntungan kasar 49.7% dan margin bersih 33.5%.

Momentum dalam segmen gentian kekal memberangsangkan. Sehingga 31 Oktober 2025, Reach Ten telah memasang 351.5 kilometer infrastruktur saluran gentian dan 887.0 kilometer kabel gentian di Kuching dan Samarahan—peningkatan ketara berbanding Mac lalu. Kerjakerja pembinaan turut berjalan di Tebedu, Bau dan Miri, dengan fasa baharu dirancang di Bintulu dan Sibu.

Melihat ke hadapan, Chin menjangkakan perkhidmatan satelit akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan di tengah permintaan yang meningkat terutama dalam sektor maritim, pendidikan dan komuniti luar bandar.

Pengembangan rangkaian gentian pula dijangka menyumbang pendapatan berulang yang lebih stabil apabila lebih banyak fasa siap dan pelanggan baharu disambungkan.